Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan sesudah waktu
Asar iaitu pada hari Jumaat di Padang Arafah pada musim haji penghabisan
(Wada’)
Pada masa itu Rasulullah S.A.W. berada di Padang Arafah di atas unta.
Ketika ayat ini diturunkan Rasulullah tidak begitu jelas penerimaan
nya, untuk mengingati isi dan makna yang terkandung di dalam ayat
tersebut, Baginda bersandar pada unta beliau sambil unta tersebut duduk
perlahan-lahan.
Setelah itu turun malaikat Jibrail A.S dan berkata:”Wahai Muhammad,
sesungguhnya pada hari ini telah aku sempurnakan urusan agamamu, maka
terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan demikian juga
apa yang terlarang olehNya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan
beritahu mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan
kamu.”
Sebaik sahaja malaikat Jibrail A.S pergi maka Rasulullah S.A.W pun berangkat ke Mekah dan terus ke Madinah.
Setelah Rasulullah S.A.W mengumpulkan para sahabat beliau, maka
Rasulullah pun menceritakan apa yang telah di beritahu oleh malaikat
Jibrail A.S. Apabila para sahabat mendengar hal demikian maka mereka pun
gembira sambil berkata:”Agama kita telah sempurna! agama kita telah
sempurna!”
Apabila Abu Bakar mendengar keterangan Rasulullah S.A.W. itu, dia
tidak dapat menahan kesedihannya maka dia pun kembali ke rumah lalu
mengunci pintu dan menangis. Abu Bakar menangis dari pagi hingga ke
malam.
Kisah tentang Abu Bakar r.a menangis telah sampai kepada sahabat yang
lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar r.a dan
mereka berkata:”Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu
menangis sehingga sebegini sekali keadaan mu? Sepatutnya kamu berasa
gembira sebab agama kita telah sempurna.”
Mendengar pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar r.a pun
berkata:” Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah
yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu
telah sempurna maka akan kelihatan lah kekurangannya. Dengan turunnya
ayat tersebut bahawa ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah
S.A.W. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi menjadi
janda.”
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a maka sedarlah mereka
akan kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a, lalu mereka menangis. Tangisan
mereka telah di dengar oleh para shabat yang lain, maka mereka pun terus
memberitahu Rasulullah S.A.W. tentang apa yang mereka lihat itu.
Salah seorang dari sahabat berkata:” Ya Rasulullah, kami baru balik
dari rumah Abu Bakar r.a dan kami dapati ramai orang menangis dengan
suara yang kuat di hadapan rumah beliau.”
Apabila Rasulullah mendengar keterangan dari sahabat itu, maka
berubahlah muka Rasulullah dan dengan segera beliau bergegas ke rumah
Abu Bakar r.a.
Sebaik sahaja Rasulullah sampai di rumah Abu Bakar r.a maka
Rasulullah S.A.W melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya.
“Wahai sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?” Kemudian Ali r.a
berkata:” Ya Rasulullah S.A.W., Abu Bakar mengatakan dengan turunnya
ayat ini membawa tanda bahawa wafat mu telah dekat. Adakah ini benar, ya
Rasulullah?”
Lalu Rasulullah S.A.W. berkata:” Semua yang dikata oleh Abu Bakar r.a
adalah benar dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua
telah hampir dekat.”
Sebaik sahaja Abu Bakar r.a mendengar pengakuan Rasulullah S.A.W maka
dia menangis sekuat tenaganya sehingga dia jatuh pengsan sementara Ali
r.a pula mengeletar seluruh tubuhnya. Dan para sahabat yang lain
menangis dengan sekuat-kuat yang mereka mampu.
Kemudian Rasulullah S.A.W. bersalam dengan para sahabat satu demi
satu dan berwasiat kepada mereka. [Kisah Rasulullah S.A.W hidup selepas
turunnya ayat terakhir itu ada yang menyatakan 81 hari, 50 hari, 35 hari
dan ada juga yang mengatakan 21 hari.]
Pada saat sudah dekat ajal Rasulullah S.A.W., beliau menyuruh
Bilah bin Rabah azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpullah para
Muhajirin dan Ansar di masjid Rasulullah S.A.W. kemudian Rasulullah
menunaikan solat 2 rakaat bersama semua yang hadir. Setelah selesai
mengerjakan solat beliau bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:
“Alhamdulillah, wahai para muslimin,
sesungguhnya saya adalah seorang Nabi yang diutus dan mengajak orang
kepada jalan Allah dengan izin Nya, dan saya ini adalah sebagai saudara
kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah.
Oleh itu kalau sesiapa mempunyai hak untuk dituntut, maka hendaklah dia
bangun dan memberitahu saya sebelum saya dituntut di hari kiamat.”
Rasulullah berkata sebanyak tiga kali kemudian bangun seorang lelaki
yang bernama ‘Ukasyah Bin Muhshan’ dan berkata:” Demi ayah dan ibuku Ya
Rasulullah S.A.W., kalau anda mengumumkan kepada kami berkali- kali
sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini.” Lalu ‘Ukasyah berkata
lagi: “Sesungguhnya dalam perang Badar, saya bersamamu Ya Rasulullah,
pada masa itu saya mengikuti unta anda dari belakang, setelah dekat saya
pun turun menghampiri anda dengan tujuan supaya dapat mencium peha
anda, tetapi anda telah mengambil tongkat dan memukul unta anda supaya
berjalan cepat, yang mana pada masa itu anda terpukul pada tulang rusuk
saya. Oleh itu saya hendak tahu sama ada anda sengaja atau cuma hendak
memukul unta tersebut.”
Rasulullah S.A.W. berkata:” Wahai Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata kepada Bilal r.a.: “Wahai Bilal,
kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku ke mari.”
Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan
tangannya di atas kepala dengan berkata:”Rasulullah telah menyediakan
dirinya untuk di balas (qishash).”
Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam
dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a menyahut dengan berkata:”
Siapakah di pintu?”
Lalu Bilal berkata:”Saya Bilal, saya diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk mengambil tongkatnya.”
Kemudian Fatimah berkata:” Wahai Bilal, untuk apa ayahku meminta tongkatnya?”
Bilal berkata:”Wahai Fatimah, Rasulullah S.A.W. telah menyediakan
dirinya untuk di qishash.” Fatimah bertanya lagi:”Wahai Bilal, siapakah
manusia yang sampai hatinya untuk mengqishash Rasulullah S.A.W.?”
Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a., sebaik sahaja Fatimah
r.a memberikan tongkat tersebut maka Bilal pun membawa nya kepada
Rasulullah S.A.W.
Setelah Rasulullah S.A.W. menerima tongkat tersebut dari Bilal maka
beliau pun menyerahkan kepada ‘Ukasyah’. Melihat hal yang demikian maka
Abu Bakar r.a. dan Umar r.a tampil ke hadapan sambil berkata:”Wahai
‘Ukasyah, janganlah kamu qishash baginda Rasulullah S.A.W., tetapi kamu
qishashlah kami berdua.”
Apabila Rasulullah S.A.W. mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar maka
dengan segera baginda berkata:”Wahai Abu Bakar dan Umar, duduk lah kamu
sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempat untuk kamu berdua.”
Kemudian Ali r.a. bangun lalu berkata:”Wahai ‘Ukasyah! aku adalah
orang yang sentiasa berada disamping Rasulullah S.A.W. oleh itu kamu
pukul lah aku dan janganlah kamu mengqishash Rasulullah S.A.W.”
Lalu Rasulullah S.A.W. berkata:” Wahai Ali, duduklah kamu,
sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi
hati mu.”
Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata:”Wahai ‘Ukasyah,
bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah S.A.W.,
kalau kamu mengqishash kami sama dengan kamu mengqishash Rasulullah
S.A.W.”
Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah S.A.W. pun berkata: “Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua.”
Rasulullah S.A.W. berkata:” Wahai ‘Ukasyah, pukul lah saya kalau kamu hendak memukul.”
Kemudian ‘Ukasyah berkata:” Ya Rasulullah S.A.W. anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju.”
Maka Rasulullah S.A.W. pun membuka baju, sebaik sahaja
Rasulullah S.A.W. membuka baju maka menangislah semua yang hadir.
Sebaik sahaja ‘Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah S.A.W. maka dia
pun mencium beliau dan berkata: “Saya tebus anda dengan jiwa saya, ya
Rasulullah S.A.W. Siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan
begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan anda yang dimuliakan
oleh Allah S.W.T. dengan badan saya dan Allah S.W.T menjaga saya dari
neraka dengan kehormatanmu.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:”Dengarlah kamu sekelian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.”
Kemudian semua para jemaah bersalaman atas kegembiraan mereka
terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah
berkata:” Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu,
engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah
S.A.W. di dalam syurga.”
Apabila ajal Rasulullah S.A.W. makin hampir maka beliau pun memanggil
para sahabat ke rumah Siti Aisyah r.a dan beliau berkata: “Selamat
datang kamu semua semoga Allah S.W.T. mengasihi kamu semua, saya
berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T.
dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara
saya dengan kamu semua hampir dekat. Kalau telah sampai ajalku maka
hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abas hendaklah menuangkan air
dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya.
Setelah itu kamu kapani aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu
semua menghendaki, atau kapanilah aku dengan kain Yaman yang putih.
Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku diatas
diatas balai tempat tidurku dalam rumah ku ini. Setelah itu kamu semua
keluarlah sebentar meninggalkan ku. Setelah itu baru kamu semua masuk
beramai-ramai bersolat ke atasku.”
Sebaik sahaja para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat
hati itu maka mereka menangis dengan nada yang keras dan berkata:” Ya
Rasulullah S.A.W., anda adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan
untuk semua yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan
kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda
sudah tiada nanti siapakah yang akan kami tanya setiap persoalan yang
timbul nanti?”
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:” Dengarlah para sahabatku
aku tinggalkan kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang dan
telah aku tinggalkan kepada kamu semua, dua penasihat yang satu
daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah Maut.
Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit diantara kamu, maka
hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadisku dan sekiranya
hati kamu itu berkeras maka lembutlah dia dengan mengambil pengajaran
dari mati.”
Setelah Rasulullah S.A.W. berkata demikian, maka sakit Rasulullah
S.A.W. bermula. Dalam bulan Safar Rasulullah sakit selama 18 hari dan
sering diziarahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan
bahawa Rasulullah S.A.W. diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari
Isnin.
Pada hari isnin, sakit Rasulullah S.A.W. bertambah berat, setelah
Bilal r.a. selesai azan subuh, maka Bilal r.a pun pergi ke rumah
Rasulullah S.A.W. Sesampainya Bilal r.a di rumah Rasulullah S.A.W., maka
Bilal r.a pun memberi salam:” Assalamualaikum ya Rasulullah.” Lalu
dijawab oleh Fatimah r.a: “Rasulullah S.A.W. masih sibuk dengan urusan
beliau.”
Setelah Bilal r.a mendengar penjelasan dari Fatimah r.a maka Bilal
pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a itu.
Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal pergi sekali lagi
ke rumah Rasulullah S.A.W. dan memberi salam seperti permulaan tadi,
kali ini salam Bilal r.a telah didengar oleh Rasulullah dan baginda
berkata:”Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin
berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat Subuh
berjemaah dengan mereka yang hadir.”
Setelah mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W. maka Bilal r.a. pun
berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangannya diatas kepala
dengan berkata:” Aduh musibah!”
Sebaik sahaja Bilal sampai di masjid maka Bilal pun memberitahu Abu
Bakar tentang apa yang telah Rasulullah S.A.W. kata kan kepadanya.
Abu Bakar tidak dapat menahan dirinya apabila melihat mimbar kosong
maka dengan suara yang keras Abu Bakar r.a menangis sehingga jatuh
pengsan.
Melihat peristiwa itu, maka riuh rendahlah di dalam masjid
sehingga Rasulullah bertanya kepada Fatimah apakah yang berlaku?” Maka
Fatimah memberitahu:”Kekecohan kaum muslimin sebab anda tidak pergi ke masjid.”
Kemudian Rasulullah memanggil Ali r.a dan Fadhl bin Abas, lalu
Rasulullah S.A.W. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke
masjid. Setelah Rasulullah S.A.W. sampai di masjid maka beliau pun
bersolat Subuh bersama dengan para jemaah.
Setelah selesai solat Subuh maka Rasulullah S.A.W. pun berkata: “Wahai kaum muslimin,
kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T.,
oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan
mengerjakan segala perintahNya.Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia
ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan
hari terakhir aku di dunia.
Setelah berkata demikian, maka Rasulullah S.A.W. pun pulang ke rumah beliau.
Kemudian Allah mewahyukan kepada malaikat Izrail:”Wahai Izrail,
pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa dan apabila kamu
hendak mencabut rohnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara
yang paling lembut sekali.Apabila kamu pergi kerumahnya maka minta
izinlah terlebih dahulu, kalau di izinkan kamu masuk maka masuklah kamu
ke rumahnya dan kalau dia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah
kamu kembali kepada ku.
Sebaik sahaja malaikat Izrail mendapat perintah dari Allah S.W.T.
maka malaikat Izrail pun dengan segera menyerupai seorang Arab Badwi.
Setelah malaikat Izrail sampai dihadapan rumah Rasulullah S.A.W. maka
dia pun memberi salam:”Assalamu alaikum yaa ahla baitin nunuwwati wa ma
danir risaalati aadkhulu?” (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu
sekelian, wahai penghuni rumah nabi dan sumber risalah, bolehkah saya
masuk?”)
Apabila Fatimah mendengar orang memberi salam maka dia pun
berkata:”Wahai hamba Allah, Rasulullah S.A.W. sedang sibuk sebab
sakitnya yang semakin berat.”
Kamudian malaikat Izrail berkata lagi seperti permulaannya, dan kali
ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah S.A.W. dan
Rasulullah S.A.W. bertanya kepada Fatimah r.a:” Wahai Fatimah, siapakah
di depan pintu itu.”
Maka Fatimah r.a berkata:”Ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi
memanggilmu dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk
sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga merasa
mengigil badan saya.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:”Wahai Fatimah, tahu kah kamu siapakah orang itu?”
Jawab Fatimah:”Tidak ayah.”
Dia adalah malaikat Izrail, malaikat yang akan memutuskan segala
macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan- perkumpulan dan yang
memusnahkan semua rumah serta meramaikan penghuni kubur.”
Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui
bahawa saat perpisahan dengan ayahnya telah hampir, dia menangis
sepuas-puasnya.
Apabila Rasulullah S.A.W. mendengar tangisan Fatimah maka beliau pun
berkata:” Janganlah engkau menangis wahai Fatimah, engkaulah orang
pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. menjemput malaikat Izrail masuk. Maka
malaikat Izrail pun masuk dengan mengucap: “Assalamualaikum ya
Rasulullah.”
Lalu Rasulullah menjawab:”Wa alaikas saalamu, wahai Izrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut rohku?”
Izrail berkata:”Kedatangan saya adalah untuk menziarahi mu dan
mengambil roh mu, itupun kalau kamu izinkan, kalau tidak izinkan maka
aku akan kembali.”
Rasulullah berkata:”Wahai Izra
il, dimanakah kamu tinggalkan Jibrail?”
Izrail berkata:”Saya tinggalkan Jibrail A.S. di langit dunia, semua para malaikat sedang memuliakan dia.”
Tidak berapa saat kemudian, Jibrail A.S. pun turun dan duduk dekat
kepala Rasulullah S.A.W. Apabila Rasulullah S.A.W. melihat kedatangan
Jibrail A.S. maka Rasulullah S.A.W. pun berkata:”Wahai Jibrail, tahukah
kamu bahawa ajalku sudah dekat?”
Jibrail berkata:” Ya, aku memang tahu.”
Rasulullah S.A.W. bertanya lagi:”Wahai Jibrail beritahu kepadaku kemuliaan yang mengembirakan aku disisi Allah S.W.T.”
Jibrail A.S. berkata:”Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka,
para malaikat bersusun rapi mananti roh mu di langit. Kesemua para
bidadari sudah berhias menanti kehadiran rohmu.”
Rasulullah S.A.W. berkata:”Sekarang kamu katakan pula tentang umatku pada hari Kiamat nanti.”
Jibrail A.S berkata:” Allah S.W.T. telah berfirman: “Sesungguhnya Aku
telah melarang semua nabi masuk ke syurga sebelum engkau masuk terlebih
dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umat
mu memasuki syurga.”
Rasulullah S.A.W. berkata:”Wahai Izrail, dekat lah kamu kepadaku.”
Setelah itu malaikat Izrail pun memulakan tugasnya apabila roh itu
sampai pada pusat, maka Rasulullah S.A.W. pun berkata:”Wahai Jibrail
alangkah dasyatnya rasa mati.”
Jibrail mengalihkan pandangan dari Rasulullah apabila mendengar kata -kata beliau.
Melihat telatah Jibrail itu, maka Rasulullah pun berkata: “Wahai Jibrail, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?”
Jibrail A.S berkata:”Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajah mu di kala kamu dalam sakaratul maut?”
Anas bin Malik berkata:”Apabila roh Rasulullah S.A.W. telah sampai di
dada beliau bersabda:”Aku wasiatkan kepada kamu semua menjaga solat dan
apa-apa yang telah diperintahkan ke atas atasmu.”
Ali r.a. berkata:”Sesungguhnya Rasulullah S.A.W.ketika menjelang
saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua
kali dan saya meletakkan telinga saya dekat Rasulullah S.A.W. dia
berkata:”Umatku, Umatku.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment